Sebagai agama fitrah, Islam melayani tuntutan fitri manusia termasuk keperluan seni. Selain itu, sesuai dengan misi kekhalifahan insan, Islam membangun potensi seni yang dimiliki oleh setiap manusia untuk memungkinkannya mengapresiasi, menghargai, melestari dan menyerlahkan keindahan ciptaan Allah.

Demikianlah hakikat seni sebagai bahagian daripada keinsanan dan kekhalifahan sehingga tidak tergambar adanya kehidupan Islami tanpa seni. Konflik Islam-seni sebenarnya hanya mungkin berlaku dalam konteks Islam yang disalahfahami atau seni yang terlepas daripada kawalan agama.

Oleh sebab itu, para ulama kontemporari yang berfahaman sederhana (Wasatiyyah) seperti Muhammad al-Ghazali, Yusuf al-Qaradhawi dan Muhammad Imarah telah cuba mengharmoniskan semula hubungan Islam dengan seni. Seni dalam erti keindahan adalah ciri penting ayat(tanda kebesaran) Allah pada alam ciptaan-Nya. Sebagai tanda yang menyerlahkan Jamal(keindahan), Jalal(kebesaran) dan Kamal(kesempurnaan) Allah. Seni harus direnung dan difahami maksud dan ertinya  hingga tumbuh keinsafan mengimani Yang Maha Pencipta.

Sebagai keindahan pula, seni harus dinikmati dan disyukuri. Ciptaan Allah yang diserlahkan sebagai ayat atau tanda itu rata-rata mempunyai dua dimensi ; Manfa'ah (kegunaan praktik) dan Zinah (perhiasan bernilai estetik). Misalnya, ciri yang terdapat haiwan ternak (al-an'am) yang diciptakan untuk dimanfaatkan sebagai makanan, pakaian, kenderaan dan peralatan di samping berfungsi sebagai Zinah (perhiasan).

Hal ini , begitulah juga dengan ciptaan-ciptaan yang lain seperti bulan dan bintang, lautan dan tumbuhan. Hakikat inilah yang menjadi asas pencirian seni Islami yang memadukan manfaat dengan keindahan, utility dengan beauty; dan ini sekaligus mengimplimentasikan sikap seni Islami yang tidak dapat menerima 'seni untuk seni' kerana seni Islam bermanfaat selama-lamanya untuk pelbagai aspek dan sekaligus menyenangkan.