Soalan temuramah untuk saya daripada pihak Berita Kampus.
Saya sertakan jawapan ini sekali.
Setuju atau tidak dengan himpunan mansuhkan PTPTN anjuran
Malaysia Bangkit?
Baru-baru ini, pada 14 April 2012
diadakan suatu himpunan mansuhkan PTPTPN dan menuntut pendidikan percuma anjuran
Malaysia Bangkit. Secara peribadinya, saya yang memerhatikan perkembangan
gerakan mahasiswa di Malaysia dengan rapi setuju dengan himpunan yang
dianjurkan atas dasar menuntut keadilan dan memperjuangkan kebajikan mahasiswa.
Saya mendapati tuntutan masih lagi dalam kerangka memperjuangkan kebajikan
mahasiswa khususnya kebajikan mahasiswa peminjam PTPTPN. Cuma ada beberapa
perkara yang berlaku di dalamnya kurang disenangi oleh ramai mahasiswa. Hal ini
merujuk kepada beberapa acara yang tidak mencerminkan akhlak Islam yang murni Bagi
saya, adalah lebih baik sekiranya himpunan tersebut bebas daripada laungan
cacian dan daripada agenda yang tersasar daripada objektif himpunan. Saya
tegaskan sekali lagi, berkenaan himpunan ini, isu yang perlu diberi perhatian
utama ialah isu pendidikan percuma dan memerlukan satu perbahasan yang
terperinci, bukanlah perkara yang berlaku dalam demonstrasi.
Setuju atau tidak pemansuhan PTPTN?
Bagi saya, isu akar bukanlah
mansuh PTPTN atau mengekalkan PTPTPN dengan ketetapan yang sedia ada. Perkara
utama yang saya ingin ketengahkan ialah mengenai pendidikan percuma dan bermutu
yang seharusnya diusahakan oleh kerajaan untuk dinikmati rakyat. Saya yakin
pendidikan percuma boleh dilaksanakan sekiranya pengurusan kewangan negara
dijalankan dengan berhemah dan rasuah serta
penyelewangan dibanteras. Saya juga setuju dengan penawaran daripada pihak
GAMIS tidak lama dahulu yang menawarkan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat
berbincang dalam sidang meja bulat mengenai isu pendidikan percuma. Menyentuh
mengenai pinjaman PTPTPN kepada mahasiswa, saya ingin memberi cadangan agar bebanan
membayar lebih daripada jumlah pinjaman yang diberikan, dibiyai oleh kerajaan dengan
menyediakan peruntukan khas dalam pembentangan bajet atau dihapuskan. Sebarang
caj perkhidmatan yang dikenakan kepada peminjam mesti dimansuhkan. Hal ini
selari dengan firman ALLAH SWT surah al Baqarah ayat 278-279 mengenai riba. Sebagai
contoh, seorang pelajar IPTA yang meminjam sebanyak RM 28 000 untuk 4 tahun
pengajian, dengan kadar ujrah sebanyak 1% akan membayar balik kepada PTPTN
sebanyak RM32 000. Sepatutnya peminjam hanya membayar jumlah pinjaman yang
sebenar. Mekanisme pembayaran balik pinjaman PTPTN seharusnya perlu dibersihkan
daripada unsur yang membebankan para peminjam.
Harapan/cadangan/nasihat.
Cadangan saya kepada pihak kerajaan agar meneliti semula isu
pendidikan percuma ini dan membincangkannya dengan Pakatan Rakyat agar
mahasiswa memperoleh output daripada perbincangan itu. Harapan saya kepada
semua rakan-rakan mahasiswa, saya menyeru kepada semua agar berperanan menjadi
mahasiswa yang celik ilmu dan perkara yang berlaku dalam negara kita. Selain
itu, saya juga menasihatkan kepada semua rakan-rakan mahasiswa agar membuat
‘research’ atau menyiasat terlebih dahulu sesuatu perkara atau isu yang berlaku
supaya kita boleh membuat penilaian dan pertimbangan yang tepat. Kepada
mahasiswa dan mahasiswi muslim, saya menyeru agar kita semua menambahkan ilmu
agama kita dan dekatkanlah diri kita dengan agama. Saya selaku wakil pimpinan
saff Persatuan Mahasiswa Islam USM sedia membantu dan menyediakan suasana itu.