Umat Islam di seluruh dunia yang dianggarkan seramai 1.6 bilion memberi perhatian berat mengenai kepentingan makanan halal dalam pemakanan mereka. Berdasarkan pasaran luas makanan halal di peringkat antarabangsa, maka terdapat persaingan hebat antara negara Islam dan bukan Islam dalam pengeluaran makanan halal.

Bagaimanapun dari segi prinsip Islam, negara yang layak mengeluarkan makanan halal adalah negara Islam kerana mereka lebih memahami aspek hukum dan sentiasa mengambil berat dalam pengawalan pencemaran makanan halal.

Oleh yang demikian, langkah Malaysia berusaha menjadi pengeluar makanan halal dunia adalah selari dengan ajaran Islam. Kita amat khuatir makanan halal yang dikeluarkan oleh negara bukan Islam terdedah kepada pencemaran najis kerana mereka mempunyai kelemahan dalam infrastruktur jentera pengawalannya.

Allah mencipta manusia dan Dia sahaja yang mengetahui spesifikasi keperluan manusia termasuk dalam isu makanan. Bagi mendisiplinkan manusia dalam soal makanan, Allah mewajibkan umat Islam (yang layak) berpuasa selama satu bulan dalam bulan Ramadhan pada setiap tahun.

Demikian juga dalam pemakanan harian Allah menetapkan garis panduan halal dan haram yang merujuk kepada makanan yang boleh dimakan dan tidak boleh dimakan. Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan rohani dan fizikal manusia.
Berhubung dengan prinsip makanan halal ini, Allah berfirman yang bermaksud :

"Wahai sekalian manusia, makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik".  (Al-Baqarah, QS 2 : 168)

Dalam ayat yang lain Allah berfirman maksudnya :

"Diharamkan kamu memakan bangkai binatang, darah yang mengalir, semua bahagian babi, binatang yang disembelih tetapi tidak menyebut nama Allah dan binatang yang mati kerana tercekik, terpukul, terjatuh, ditanduk, binatang yang mati dimakan binatang buas kecuali yang sempat disembelih jika masih kuat bernyawa".    (Al-Maidah, QS 5 : 3)



Makanan halal ialah makanan yang bebas daripada sumber najis bermula daripada penyediaan bahan mentah, proses pembuatan, penyimpanan, masakan, pengilangan, pembungkusan dan pengangkutan. Secara ringkasnya makanan halal itu mesti bersih dan selamat untuk dimakan.

Secara prinsipnya apa yang dimaksudkan dengan makanan bernajis itu ialah makanan mengandungi mana-mana bahagian daripada bahagian babi, haiwan halal tetapi tidak disembelih dengan betul, bangkai, binatang buas, arak, darah yang mengalir dan makanan atau tumbuh-tumbuhan yang beracun. Oleh yang demikian, makanan yang bernajis ini menjadi tidak halal dimakan oleh umat Islam.

Menurut prinsip undang-undang Islam, semua makanan yang ada di dunia adalah halal dimakan kecuali yang diharamkan Allah dan RasulNya. Berdasarkan prinsip ini sebenarnya makanan halal itu banyak dan wujud dengan meluas di muka bumi. Bagaimanapun, oleh sebab industri makanan dikuasai orang bukan Islam, maka pengeluaran dan pengedaran makanan tidak halal itu melimpah di pasaran dunia lantas menenggelamkan makanan halal.

Bagi kepentingan ekonomi dan keuntungan, maka pengusaha bukan Islam mengambil kesempatan mengeluarkan juga makanan halal bagi memenuhi keperluan umat Islam.

Kemajuan pesat teknologi dalam pemprosesan dan pengeluaran makanan menyebabkan makanan halal sentiasa terdedah dengan pencemaran najis secara tidak disedari. Terdapat pelbagai bentuk pencemaran makanan halal di pasaran. Ancaman terbesar pencemaran makanan halal adalah seperti berikut:

1. Berpunca daripada penerapan makanan berasaskan haiwan seperti babi, haiwan halal yang tidak disembelih, bangkai atau darah dan arak. Daripada sumber ini mereka mencipta pula pelbagai ramuan dan bahan perisa berasaskan kulit, tulang, lemak, perut, otak, darah dan sebagainya. Bagi orang awam Islam agak sukar mengenali penerapan ramuan dan bahan perisa yang berasaskan sumber najis ini.

2. Makanan halal yang tercemar kerana tersentuh dengan penggunaan peralatan, perkakasan dan pengangkutan pengeluaran makanan yang tercemar dengan najis. Keadaan ini berlaku apabila pihak industri menggunakan peralatan dan perkakasan yang sama dalam mengeluarkan makanan halal dan tidak halal.

3. Pihak industri atau pengusaha makanan tidak mengambil berat dari segi aspek kebersihan premis, persekitaran dan kesihatan pekerja. Terdapat sebahagian pengusaha melalaikan isu kebersihan kerana menganggap tidak termasuk dalam piawaian halal. Sebenarnya makanan menjadi tidak halal jika didapati kekotoran boleh mengancam keselamatan makanan dan memudaratkan pengguna.


Sebagai panduan pengguna Islam dalam pemilihan makanan halal, maka pengguna perlu mematuhi peraturan berikut :

1. Pastikan ada sijil halal yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama Islam di negara ini.
2. Mengelak membeli produk yang dihasilkan dari luar negara yang berasaskan daging jika meragui status halalnya.
3. Jangan mudah tertipu dengan penggunaan logo halal yang dibuat sendiri oleh pengeluar kerana tiada pihak berkelayakan mengesahkan status halal makanan tersebut.
4. Menghubungi pihak berkuasa agama untuk mendapat maklumat lanjut berhubung isu halal dan haram dalam makanan dan barangan gunaan Islam yang lain.
5. Jika ingin membeli daging ayam yang dijual di pasar, pastikan ayam disembelih dengan betul atau minta sebarang maklumat daripada penjual sumber ayam yang diproses itu. Jika ragu-ragu makan jangan dinasihatkan jangan membelinya. Bagaimanapun status daging import dijamin halal kerana kerajaan telah menjalankan pemeriksaan yang teliti dengan kerjasama badan Islam luar negara yang diiktiraf kerajaan.


Isu pencemaran makanan halal dengan najis adalah isu sensitif kepada pengguna Islam kerana hal ini melibatkan kesucian agama Islam. Berdasarkan pemerhatian, pihak industri makanan halal di negara ini amat menyedari sensitiviti mengenai isu makanan halal. Oleh sebab itu bagi menjamin kualiti makanan halal, pihak industri cenderung mendapatkan pengesahan halal yang dikeluarkan kerajaan dan tidak sewenang-wenangnya menggunakan sebarang logo halal.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) mengamalkan prosedur pemeriksaan halal ketat bagi menentukan pengeluaran makanan halal memenuhi standard halal yang ditetapkan.

Langkah ini amat wajar sebagai usaha menjaga imej Islam dan mengekalkan pretasi keyakinan tinggi umat Islam terhadap produk makanan halal yang dikeluarkan di negara ini. JAKIM, JAIN, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Kementerian Kesihatan sebagai jentera pengawalan pencemaran makanan halal seharusnya terus memperhebatkan operasi pemantauan dan penguatkuasaan secara meluas dan berterusan. Hal ini bagi memastikan syarikat industri yang terlibat dan pengusaha makanan halal mematuhi piawaian halal yang ditetapkan.

Allahua'lam.