Sudah 5 hari berlalu sejak 6 Mei 2011 iaitu hari Jumaat lepas. Waktu itu aku menduduki peperiksaan bagi kertas SHE101, kertas yang terakhir bagi sidang akademik 2010/2011 ini. Seharian juga sudah berada di rumah kini. Hampir semua penjuru rumah aku teliti. Saki-baki pembinaan perlu ku teruskan di bahagian belakang rumah. Aku nampak kerja-kerja di tiap-tiap penjuru untuk ku. Entri kali ini bukan bercerita mengenai diriku, tetapi 3 perkara ingin ku sentuh sempena cuti hampir 4 bulan bagi siswa-siswi ipta di seluruh Malaysia.

Jika kita seorang ibubapa, anak bagaimana akan menjadi kesayangan kita?

Mari kita bayangkan diri kita menjadi ibubapa kepada tiga orang anak. Ketiga-tiga orang anak ini sudah menjangkau dewasa dan hampir sebaya namun belum berumahtangga. Karekter mereka masing-masing berbeza.

Anak Pertama

Ia seorang pemalas dan tidak suka membantu(suka buat dono). Sering membuat perkara yang kita tidak sukai. Suatu hari kita pulang ke rumah manakala dia pula sedang menonton televisyen. Ketika itu kita kepenatan dan ruang tamu pula habis bersepah dengan barangan miliknya. Lalu kita marah dan menyuruhnya mengemaskan barang-barang tersebut. Dia seperti biasa buat tak endah. Lalu kita merungut.

"Kalau kamu tidak kemaskan barang-barang ini sekarang, ibu akan buang semua barangan kamu keluar. Ibu akan halau kamu dan tidak akan benarkan kamu tinggal di rumah ini lagi. Faham tak!!"


Sebaik sahaja mendengar kita memarahinya, dia menjadi 'kucur'. Dia belum memiliki rumah sendiri dan tidak mahu dihalau dari rumah kita. Lalu dia mula bangun dan mengemaskan barang-barangnya.



Anak Kedua

Ia seorang yang boleh diajak kerjasama tetapi kerjanya sambil lewa sahaja. Langsung tidak kemas. Bagi memastikan dia membuat kerjanya dengan cermat, ibubapanya 'mengumpan' anak tersebut.

"Kalau kamu buat kerja ini dengan cermat, ayah akan bagi upah lumayan. Ayah nak bawa kamu makan besar di kota dan pilihlah apa sahaja pakaian yang kamu suka. Jika kamu buat kerja yang tidak memuaskan, ayah tak bagi apa-apa."

Sebaik sahaja kita memberi tawaran tersebut, dia bersungguh-sungguh dan menumpukan perhatian pada kerjanya. Semangat kerjanya berubah menjadi drastik.

Anak Ketiga

Anak ketiga merupakan seorang anak yang rajin dan sangat berdedikasi. Dia bukan sahaja komited malah sangat menyayangi kita. Tanpa perlu menyuruhnya itu dan ini, dia sendiri yang datang mencari kerja daripada kita. Jika kita penat, dia akan datang memicit-micit kepala dan bahu kita. Dia akan memasak dan membuatkan minuman kegemaran kita. Jika kita menawarkan balasan kepadanya, dibalasnya dengan kata-kata yang menyenangkan.

"Ini adalah tanggungjawab saya sebagai seorang anak kepada ibu dan ayah. Saya mesti patuh dan taat pada suruhan ibu dan ayah. Malah, saya dituntut memberikan apa sahaja yang ibu dan ayah selagi saya mampu"


Baiklah! Antara tiga orang anak ini, mana satu yang kita akan pilih untuk diambil sebagai anak kesayangan?? Mana satukah yang kita sangat suka bila bersamanya??
Jika kita belum berumahtangga, kita nak jadi anak yang bagaimana??
Adakah terdetik di fikiran kita, balik ke rumah ni pasang mindset nak rehat?? Minta pada ibu dan ayah harap jangan kacau/ganggu kita??? Jika ada, istighfar banyak-banyak! Sebagai anak, kita sudah tersilap. Ibubapa kita adalah sumber pahala terbesar bagi kita semasa hayat mereka masih ada. Jadi demi Allah, berbuatlah baik kepada mereka!


Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada ibu ayahmu, hanya kepada-Ku lah kembali kamu(Luqman:14).

Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya (al-Isra’: 23)


Menjadi individu yang bermanfaat




عن جابر قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : « المؤمن يألف ويؤلف ، ولا خير فيمن لا يألف ، ولا يؤلف، وخير الناس أنفعهم للناس »
Diriwayatkan dari Jabir berkata,”Rasulullah saw bersabda,’Orang beriman itu bersikap ramah dan tidak ada kebaikan bagi seorang yang tidak bersikap ramah. Dan sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat bagi manusia.” (HR. Thabrani dan Daruquthni)