AJARAN Islam membawa kepada prinsip berbaik sesama manusia. Al-Quran dan sunnah banyak menggariskan amalan yang mendorong manusia berbuat baik sesama manusia. Tujuannya melahirkan insan sejahtera, keluarga bahagia, masyarakat penyayang, negara aman dan bersatu padu.

Bagi melaksanakan matlamat itu, Rasulullah SAW melaksanakan konsep sedekah sebagai pelaksana pelbagai bentuk kebaikan. Baginda SAW menganjurkan setiap pergerakan sendi manusia dikira sebagai sedekah dan sedekah dikira sebagai suatu kebaikan, dan setiap satu kebaikan pula diberi nilai 10 hingga 70 atau 700.

Konsep setiap amar makruf adalah sedekah dinyatakan oleh Baginda terhadap segala kebaikan dilakukan manusia. Justeru, ramai manusia berpeluang memperoleh kelebihan pahala kerana terlalu mudah untuk melaksanakannya.

Bagaimanapun, sedekah perlu dengan kefahaman dan penghayatan ajaran Islam yang sempurna di samping menepati ciri keikhlasan dan keinsafan dalam diri masing-masing.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Setiap sendi manusia perlu bersedekah, setiap hari matahari terbit ada orang yang mengadili dua orang adalah sedekah. Membantu orang dengan menaikkan barangan ke atas binatang tunggangannya adalah sedekah. Satu kalimah yang baik adalah sedekah. Setiap langkah untuk pergi mengerjakan solat adalah sedekah dan membuang sesuatu yang berbahaya di jalanan adalah sedekah." (Hadis riwayat Bukhari)


Setiap kebaikan yang dilakukan sama ada berbentuk spiritual dan fizikal sebenarnya ialah sedekah. Amalan ini juga lambang kebenaran iman kerana sedekah bermaksud 'benar'. Orang yang bersedekah adalah benar dan mempercayai kebenaran ajaran Islam yang suci.



Setiap orang yang benar dan berbuat kebajikan nescaya diberkati Allah dengan kesejahteraan hidup serta mendapat rahmat-Nya. Orang yang bersedekah ialah dermawan, manakala yang bakhil ialah seteru Allah. Allah menyatakan orang yang kedekut dan ego hidupan dipenuhi liku sukar dan bermasalah seperti sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Tuhan tidak akan merahmati sesiapa yang tidak berperikemanusiaan, iaitu tidak bersifat kasih sayang terhadap orang lain."

Keberkatan yang lahir daripada sedekah amat banyak. Namun apa yang dinyatakan ini ialah yang jelas terpapar pada wajah orang yang bersifat murah hati apabila dia melalui beberapa peringkat hidupnya iaitu:

l Keberkatan hidup – seseorang yang bersedekah akan mendapat kesucian daripada sejumlah harta yang dia miliki termasuk Allah mengelakkan hartanya daripada kecurian atau hilang.

Perniagaannya sentiasa untung dan terhindar daripada penyakit bahaya bahkan usianya dipanjangkan oleh nikmat sedekah dan rezeki yang diperoleh. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Menggembirakan hati seseorang mukmin terlebih baik daripada beribadat sunat enam puluh tahun."




l Keberkatan pada penghujung kehidupan. Ketika akhir hayat, seseorang yang gemar bersedekah diambil rohnya dengan kesenangan tanpa penyesalan dan kesedihan. Matinya bukan sebagai orang yang tidak mensyukuri nikmat Allah bahkan dirahmati kebaikannya itu.

Seseorang yang tidak suka bersedekah seperti mempunyai benih tanaman tetapi tidak mahu menanamnya. Orang yang tidak suka bersedekah tidak dapat memungut atau menuai hasil sedekahnya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Mati itu umpama gelas dengan setiap orang akan meneguk daripadanya."

l Ketika di alam barzah. Orang yang bersedekah di dalam kubur terhindar daripada fitnah dan sebarang kengerian yang menakutkan. Alam kubur sebenarnya ujian untuk orang yang beribadat dan berbuat kebaikan ketika hidupnya.

l Ketika di alam akhirat. Apabila dibangkitkan pada hari kiamat, orang yang suka bersedekah dipayung dan diteduhkan oleh sedekahnya ketika hayat di dunia. Ini pasti dapat mengelak daripada ditimpa panas di alam akhirat. Sedekah juga meringankan seseorang ketika dihisab Allah dan akan memberatkan timbangan kebajikannya.

l Sedekah walaupun sedikit menjadi benteng daripada api neraka. Hal ini dinyatakan Rasulullah dalam sabda bermaksud: "Sesiapa yang berkemampuan untuk melindungi dirinya daripada api neraka walaupun dengan hanya bersedekah sebelah buah tamar, hendaklah dia melakukannya."

Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: "Takutilah kamu akan api neraka, bersedekahlah sebelah buah tamar dan jika kamu tidak mampu melakukannya, maka cukuplah dengan mengucapkan satu kalimah yang baik."

Konsep sedekah sudah digariskan oleh sunnah ganjaran pahala berganda menanti mereka yang menganjurkan amalan baik seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang memulakan satu amalan baik dalam Islam, maka baginya pahala dan pahala orang yang melakukan kebaikan itu selepas ia mati tidak dikurangkan walaupun sedikit. Sesiapa yang memulakan satu amalan buruk dan keji yang melakukan amalan itu selepas daripada kematiannya, maka tidak sedikitpun dosa amalan itu dikurangkan." (Hadis riwayat Muslim dan al-Nawawi)

Rasulullah SAW menggalakkan umatnya supaya berlumba-lumba menjadi penaja kepada amalan yang baik dan bermanfaat kerana ganjaran pahala menanti amat besar. Baginda meminta umatnya menjauhi daripada melakukan kejahatan dan maksiat yang akan membawa kecelakaan hidup.

Konsep bersedekah turut dibahaskan dalam hadis diriwayatkan oleh Abu Dzar. Beliau menceritakan mengenai beberapa sahabat Nabi SAW yang berkata kepada Baginda: "Wahai Rasulullah, orang kaya mendapat banyak pahala. Mereka solat seperti kami bersolat, mereka berpuasa seperti kami berpuasa. Tetapi mereka bersedekah dengan harta mereka yang lebih."

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidakkah Allah menjadikan sesuatu untuk kamu bersedekah? Sesungguhnya setiap satu tasbih adalah sedekah, setiap satu takbir adalah sedekah, setiap satu tahmid adalah sedekah, setiap satu tahlil adalah sedekah, setiap suruhan makruf adalah sedekah, setiap tegahan daripada kemungkaran adalah sedekah, jimak seorang daripada kamu adalah sedekah."

Sahabat berkata: "Ya Rasulullah, adakah jika salah seorang daripada kami memenuhi syahwatnya, dia diberikan pahala? Jawab Rasulullah SAW: "Hendaklah kamu ingat bahawa jika dia melepaskannya pada yang haram, tidakkah dia akan berdosa. Maka demikianlah, jika dia melepaskan syahwatnya pada yang halal nescaya dia akan mendapat pahala."

Galakan bersedekah banyak dijelaskan dalam al-Quran dan sunnah supaya umat Islam tahu kebaikan daripada amalan itu dan sentiasa terdorong dalam hati mereka untuk memulakan perbuatan baik itu dalam kehidupan bermasyarakat.

Dari segi perolehan pahala, Islam tidak pernah melihat kepada taraf kedudukan atau kaya dan miskin seseorang itu, kerana setiap insan mukmin sentiasa mempunyai peluang untuk memperoleh ganjaran berganda.

Galakan berbuat kebaikan tidak akan memberatkan manusia kerana Islam sendiri menjanjikan bahawa apa saja bentuk kebaikan yang dilakukan akan memperoleh pahala daripada Allah. Konsep bersedekah adalah motivasi untuk menjadikan seseorang lebih baik dan ikutan orang lain.

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli - Berita Harian