POTRET 2 : DIARI 1 RAMADHAN: AKU MESTI JADI YANG TERBAIK KALI INI
By NOR AZAM MOHAMAD TAMJIS
sambungan..
Dialog di siang hari : seorang guru sedang mengajar di kelas tingkatan 3.
“Hari ni 1 Ramadhan, ustaz nak tengok berapa ramai yang berpuasa. Angkat tangan yang puasa!” Arah ustaz kepada pelajar-pelajarnya.
“Bagus, semua berpuasa hari ini. Takde yang ‘ABC’ jugak ye hari ni, “ ustaz tersebut memuji pelajar-pelajarnya.
“Baiklah, kemudian siapa yang solat Subuh hari ini, tolong angkat tangan!” Arah ustaz lagi.
“Astaghfirullah al’azim. Kenapa boleh separuh yang tidak solat Subuh ni?” Soal ustaz meminta jawapan daripada pelajar-pelajarnya.
Semua lantas terdiam di dalam kelas tersebut. Lalu datang satu suara yang memecah kesunyian kelas.
“Ustaz, macam biasa la, kami keluar awal dari rumah tunggu bas. Takut tertinggal punya pasal lah,” jawab seorang pelajar.
“Habis tu, macam mana boleh kata yang kamu ni berpuasa?” Soal ustaz.
“Saya puasa sebab saya sempat bersahur,” jawab pelajar tersebut.
“Solat subuh wajib tak?” Soal ustaz kepada semua pelajar.
“Wajib, “ jawab semua pelajar.
“Puasa ramadhan?” Soal ustaz lagi.
“Wajib,” jawab semua pelajar.
“Kedua-duanya wajib kan. Habis tu kenapa boleh sengaja tinggal solat subuh? Puasa kena buat dan solat Subuh jangan tinggal!” Tegas ustaz kepada semua pelajar.
Pemerhatian sehingga 5 Ramadhan, sudah ada sedikit perubahan dalam masyakarat. Masyarakat Islam semakin faham Islam mesti dipraktikkan secara keseluruhan.
Namun begitu, masih ada yang kurang faham mengenai perkara ini. Mengapa ada yang melaksanakan perintah puasa dengan bersungguh-sungguh tetapi pada masa yang sama meninggalkan perintah ALLAH yang lain. Berpuasa tetapi mendedahkan aurat, berpuasa tetapi tidak solat, berpuasa tetapi mengumpat, berpuasa tetapi mencuri, berpuasa tetapi makan rasuah dan seumpamanya. Bukankah matlamat khas kita untuk mencapai taqwa dalam Ramadhan ini, apakah bertaqwa sekiranya meninggalkan perintah ALLAH seperti solat fardhu dan menutup aurat sedangkan melaksanakan perintah-perintah itu juga menunjukkan ketaqwaan kita kepada-Nya.
Jangan ada daripada kita harapnya yang masih mendedahkan aurat sedangkan mengaku berpuasa atau tidak bersolat fardhu sedangkan berpuasa. Sepatutnya selepas ini, saya berpuasa dan menutup aurat, saya berpuasa dan solat, saya berpuasa dan amanah dan seumpamanya.
Dialog hari pertama berpuasa.
“Uhh, Din panasnye hari ni. Aku lapar la, kering dah tekak ni, “ kata Syam kepada Din.
“Alaa, rilek la bro. Normal la puasa, rasa lapar, haus dan panas. Kalau tak rasa macam tu, bukan ujian berpuasa namanya. Lagipun lagi berapa jam je nak berbuka ni, sabarlah,” balas Din menenangkan keadaan Syam.
Selalu kita mendengar Ramadhan ini dibahagikan kepada 3 fasa. Fasa pertama iaitu 10 hari pertama mengandungi rahmat kepada orang-orang yang berpuasa. Fasa kedua iaitu 10 hari seterusnya mengandungi ‘maghfirah’ ataupun keampunan kepada orang-orang yang berpuasa. Manakala fasa yang ketiga merangkumi 10 hari terakhir, pembebasan terhadap api neraka.
Maka di siang hari kita mesti menahan diri daripada segala perkara yang membatalkan puasa dan malam hari pula teguhkan diri dengan ibadat-ibadat khas di bulan Ramadhan. Munajat pada waktu tengah malam akan memberi kekuatan kepada kita sebagai hamba ALLAH. Munajat yang disertai tangisan kepada ALLAH lebih kuat kesannya ke dalam hati. Para anbiya’ dan ‘ulama’ bahkan Rasulullah S.A.W mengorbankan hampir keseluruhan waktu tidur malam dengan bangun malam bersungguh-sungguh bermunajat kepada ALLAH. Siang hari pada esoknya mereka bagaikan singa yang semakin kuat dan berani memperjuangkan Islam.
Tangisan atas kesedaran diri sebagai hamba yang lemah, hina dan memerlukan bantuan-Nya, kemudian disandarkan segala kesedaran ini dengan mengagungkan ALLAH S.W.T sebagai Maha Pencipta akan melahirkan kekuatan dalaman yang ampuh bagi mengharungi hidup. Tiap-tiap titisan air mata ibarat titisan minyak yang menyalakan lantera pelita membara menerangi kegelapan. Namun perbandingan tangisan kerana manusia atau kehidupan dunia yang sementara, akan menambah penderitaan diri bukan memberikan kekuatan pada diri. Buktinya tangisan akibat kekecewaan putus cinta makin menghilangkan semangat untuk hidup, lantas boleh menyebabkan tindakan membunuh diri jika berterusan.
Amalan fardhu mesti dilaksanakan dan amalan sunat pula mesti diperbanyak. Amalan fardhu berganda-ganda pahalanya dan amalan sunat pula menjadi pahala wajib. Setiap saat adalah berharga untuk sebarang ganjaran dalam Ramadhan ini. Jadi, teruskan mujahadah menghiasi Ramadhan kita dengan amalan-amalan fardhu dan sunat.
Dialog menghampiri waktu berbuka puasa.
“Fik, jom ke bazar Ramadhan kejap lagi!” ajak Darus kepada Fikri.
“Wei, mak aku masak banyak lauk la hari ni. Nanti membazir pulak kalau tak habiskan yang mak aku masak,” terang Fikri kepada Darus.
“Alaa, jom la ikut aku je Fik,” Darus berusaha mengajak Fikri.
“Eiisyy, kau ni macam tak kenal aku pulak. Pantang aku lapar, mesti aku rembat je semua yang ade kat bazar tu nanti. Penuh pulak 10 jari tangan aku ni nanti dengan plastik lauk. Habis puasa aku nanti,” tegas Fikri kepada Darus.
“Emm,” keluh Darus.
“Dar, bukan tak boleh kalau nak ke bazar tu, boleh. Tapi janganlah sampai membazir duit. Puasa ni bulan kita berjimat,” nasihat Fikri kepada Darus.
“Baiklah Fik. Aku berbuka di masjid je lah hari ni,” jawab Darus.
Ketika menghampiri waktu berbuka puasa, digalakkan kita untuk berdoa kerana waktu tersebut mustajab doa kita. Tambahan pula, doa orang yang berpuasa juga tidak ada hijab dengan ALLAH. Maka, hendaklah berdoa memohon agar diampunkan segala dosa-dosa kita. Selain itu, elakkan membazir jika kita teringin untuk berbelanja di bazar-bazar Ramadhan. Beli lauk atau makanan yang diperlukan sahaja. Jangan mengambil masa yang lama berada di bazar kerana dikhuatiri akan mengganggu konsentrasi puasa kita yang sudah sedia maklum kelaparan ketika itu.
Waktu berbuka puasa pula, cukuplah sekadar beralas perut dengan kurma atau kuih-muih serta air masak untuk berbuka. Tunaikanlah solat Maghrib berjemaah terlebih dahulu. Solat di awal waktu amat dituntut dalam Islam, lebih-lebih lagi bulan Ramadhan ini hendaklah kita memperbaik dan mengutamakan amalan-amalan fardhu kita. Apabila selesai menunaikan solat Maghrib, jamahlah makanan yang disediakan untuk berbuka puasa. Makanlah makanan yang berkhasiat kerana Islam menganjurkan pemakanan yang halal, sihat dan berkhasiat. Pastikan makanan yang dimakan itu nanti tidak akan mengganggu atau menyebabkan mengantuk ketika solat Isyak dan solat Tarawikh nanti.
Di dalam bulan Ramadhan, siang kita bekerja dan malam kita berehat, namun jadikan ibadah seperti solat Tarawikh, bertadarrus dan tadabbur serta qiyamullail sebagai bentuk rehat malam kita. Suka saya ingatkan kepada semua, bahawa dalam bulan Ramadhan ini terdapat anugerah suatu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan. 1000 bulan bermaksud melebihi 83 tahun umur kehidupan. Umur umat Muhammad ini sekitar 60 tahun, pendek jika dibandingkan zaman para anbiya’ terdahulu yang umur umatnya ratusan tahun. Apakah kita telah menjumpai 60 tahun dengan penuh amalan kebaikan? Sudah semestinya tidak pernah bukan, tetapi malam tersebut yang dinamakan Lailatulqadr menawarkan kebaikan melebihi 83 tahun umur kehidupan. Inilah suatu anugerah dan tanda kasih ALLAH S.W.T kepada umatnya yang bermujahadah sepanjang bermulanya awal Ramadhan hingga ke penghujungnya.
Justeru itu, saya berpesan kepada diri saya dan seluruh masyarakat kampus, agar kita sama-sama mengejar maksud Taqwa yang diimpikan dalam Ramadhan kali ini. Buatlah perubahan pada diri supaya seiring dengan syariat Illahi. ALLAH telah menurunkan Ramadhan sebagai pencipta suasana untuk kita menyempurnakan diri kita dengan agama. Soallah pada diri kita sendiri, bilakah peluangnya? Ya, Ramadhan kali ini peluangnya. Sematkan dalam hati kita bahawa Ramadhan kali ini ‘Aku Mesti Jadi yang Terbaik’.
0 Responses to POTRET 2 : DIARI 1 RAMADHAN: AKU MESTI JADI YANG TERBAIK KALI INI
Something to say?