Kisah Paul si Sotong Kurita : Meramal perlawanan Piala Dunia 2010
By NOR AZAM MOHAMAD TAMJIS
Apabila sembang-sembang mengenai World Cup 2010, kita pasti melilau kepada Paul seekor sotong yang meramal perlawanan World Cup. Cuma seekor sotong? Jangan terperanjat!
Paul oh Paul
Fakta dan Auta
(baca juga artikel di link ni)
http://hanspunyablog.blogspot.com/2010/07/luahan-hati-si-paul.html
DIA sudah menjadi seekor daripada bintang kejohanan dan memalukan pengulas TV disebabkan ramalannya yang tepat mengenai keputusan Piala Dunia. Di sini 10 perkara yang anda mungkin belum tahu mengenai Paul, seekor sotong peramal keputusan perlawanan.
1. Dia berasal dari Weymouth
Walaupun dia kini berada di Aquarium Sea Life Centre di Oberhausen, Jerman, Paul sebenarnya dilahirkan di Weymouth, England dan berpindah daripada Sea Life Park pekan itu pada 2006.
Fiona Smith, dari Weymouth Sea Life Park, memberitahu Dorset Echo: “Dia tidak pernah membuat sebarang ramalan ketika dia tinggal di sini tapi mungkin dia menanti acara besar seperti Piala Dunia barulah dia mendedahkan kebolehannya.”
2. Dia amat dikehendaki
Chef Argentina, Nicolas Bedorrou terlalu marah selepas Paul meramalkan dengan tepat bahawa pasukannya akan kalah pertemuan suku akhir dengan Jerman lantas dia mencadangkan satu cara untuk memasak sotong itu. Dia mencatat dalam laman web sosial Facebook: “Kami akan mengejarnya dan meletakkannya dalam kertas. Kami kemudian akan memukulnya untuk mendapatkan daging lembutnya dan kemudian merebusnya dalam air mendidih.”
3. Dia mendapat liputan meluas
Ramalan Paul meraih terlalu banyak populariti hinggakan saluran berita Jerman, NTV mula menyiarkan ramalannya secara langsung, dengan dua wartawan berada di sebelah tangkinya jadi mereka boleh memberikan perkembangan terkini kepada penonton.
4. Dia menjadi selebriti di Oberhausen
Sesudah mengejutkan dunia media dengan ramalannya, Paul berjaya meletakkan bandar raya kurang dikenali Jerman, Oberhausen di peta dunia. Oberhausen, bandar raya berkembar dengan Middlesbrough, juga dikenali mempunyai pusat membeli-belah terbesar di Jerman.
5. Dia memiliki rekod yang bagus
Paul mula meramalkan keputusan Jerman ketika kejohanan Euro 2008, secara tepat memilih pemenang dalam empat daripada enam perlawanan membabitkan Jerman. Dia meramalkan Jerman untuk menang setiap perlawanan tetapi silap apabila mereka kalah kepada Croatia dan perlawanan akhir di tangan Sepanyol. Setakat ini pada Piala Dunia 2010, Paul meramalkan dengan betul pemenang kelima-lima perlawanan Jerman.
6. Dia membantu anda membawa pulang sedikit wang
Selepas meramalkan dengan tepat pemenang lima perlawanan Jerman pada Piala Dunia, menuruti tip yang diberikan Paul membolehkan anda membuat sedikit wang.
Seorang yang mempertaruhkan £1 (RM4.80) terhadap semua lima keputusan itu boleh mendapat sekurang-kurangnya £131 (RM640).
7. Dia seekor haiwan bijak
Sotong memang terkenal sebagai haiwan bijak dan terbukti memiliki kekuatan memori jangka pendek mahupun jangka panjang.
Fiona Smith, ketua penjagaan haiwan Sea Life Park berkata: “Sotong biasa seperti Paul amat bijak. Kami samakan kebijaksanaan mereka dengan anjing dan mereka suka menyelesaikan masalah atau mengira sesuatu.”
8. Dia sensasi Twitter dan Facebook
Paul menjadi fenomena utama internet sejak akhir-akhir ini dan kini adalah satu daripada topik utama perbualan dalam laman web. Frasa “Paul the Octopus” dan “Pulpo”, perkataan Sepanyol bagi sotong, kini berada dalam kelompok 10 teratas di laman web sosial Twitter.
9. Dia tidak menipu
Paul meramalkan keputusan dengan membuka satu daripada dua plastik kontena makanan yang dilitupi dengan bendera dalam tangkinya. Tanja Munzig dari Sea Life Centre di Oberhausen menafikan dakwaan bahawa kontena itu sudah diberikan kepadanya lebih awal.
“Tidak ada tipu helah, makanan itu sama dan setiap benda dalam dua kontena itu sama kecuali bendera.”
10. Dia tidak takutkan ancaman bunuh
Menurut penjaganya, Oliver Walenciak, Paul tidak bimbang dengan beberapa siri ancaman bunuh dihantar oleh penyokong Argentina yang menyalahkan sotong itu kerana kekalahan pasukan mereka pada Piala Dunia.
Dia berkata: “Memang ramai orang yang mahu makan sotong kami tapi dia tidak malu dan kami berada di sini untuk menjaganya. Dia akan bertahan.”
Pendirian umat Islam, Bagaimana?
Keghairahan teka pemenang Piala Dunia berdasar gerakan binatang boleh jejas akidah
KEJAYAAN Sepanyol menjuarai Piala Dunia 2010 awal pagi kelmarin menjadikan sotong kurita bernama Paul semakin popular mengalahkan bintang bola sepak yang berjuang bermati-matian di padang untuk meraih kemenangan setiap perlawanan. Sotong di Akuarium Sea Life di Oberhausen, selatan Jerman itu sebelum ini membuat ramalan mengenai perlawanan membabitkan pasukan Jerman yang kebetulan, ramalannya mengena. Rentetan ramalan Paul yang mengena itu, ada pihak termasuk sesetengah umat Islam seakan-akan percaya sotong ini memiliki keajaiban untuk menentukan hala tuju sesuatu perlawanan.
Sungguh aneh, budaya yang begitu sebati dalam masyarakat Arab zaman jahiliah kini menular di kalangan peminat bola sepak pada zaman serba moden. Arab jahiliah dulu memang hidup mereka sentiasa dibayangi amalan syirik, tahyul dan khurafat.
Contohnya, jika mereka ingin memulakan sesuatu perjalanan, mereka akan melihat gerakan sesetengah jenis binatang seperti burung mahupun busur panah yang dilepaskan sama ada ke kiri atau ke kanan.
Mereka beranggapan arah gerakan itu boleh mempengaruhi keburukan atau kebaikan yang mungkin dihadapi dalam perjalanan nanti. Jika pergerakan itu dianggap menunjukkan alamat tidak baik, mereka akan membatalkan hasrat untuk meneruskan perjalanan.
Imam al-Syafi’i pernah berkata: “Dulu golongan jahiliah apabila ingin bermusafir akan mengambil burung dan melepaskannya ke udara. Jika ia terbang ke kanan maka mereka pun keluar atas tanggapan tuah itu. Jika ia terbang ke kiri atau ke belakang, maka mereka akan menganggap sial lalu berpatah balik. Maka apabila Nabi SAW diutuskan, Baginda menyeru orang ramai: Kekalkan burung pada sarangnya.” (Hadis riwayat Abu Nu’aim al-Asfahani dalam Hilyah al-Auliya’).
Perkara sebegini termasuk mempercayai ramalan ‘sang sotong Paul’ yang dinamakan tathayyur atau meramalkan sesuatu kejadian buruk atau baik disebabkan sesuatu perkara. Islam menyelar tathayyur dan menganggap ia mencemar kemurnian tauhid.
Islam meletakkan kejadian sesuatu perkara itu bergantung kepada kehendak dan kekuasaan Allah semata-mata.
Firman-Nya bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jugalah hendaknya orang yang beriman bertawakal.” (Surah al-Taubah: 51).
Meramalkan sesuatu musibah bakal menimpa berdasarkan sesuatu perkara seperti gerakan binatang, kedudukan bintang, waktu atau masa yang tertentu dan lain-lain adalah perbuatan tercela kerana segala sesuatu itu ditetapkan Allah tanpa ada faktor lain mempengaruhi keputusan-Nya.
Firman Allah bermaksud: “Ketahuilah, sesungguhnya nahas dan malang mereka itu hanya ditetapkan di sisi Allah akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.” (Surah al-A’raaf: 131).
Oleh itu, bagi sesiapa yang membuat sesuatu keputusan berdasarkan tathayyur maka dia terjebak dengan syirik.
Daripada Abdullah Ibn Umar, dia berkata, Rasulullah bersabda bermaksud: “Barang siapa yang menangguhkan hajatnya kerana al-Thayrah (ramalan buruk kerana sesuatu) maka dia telah berbuat syirik.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Daripada Abdullah Ibn Mas’ud, Rasulullah bersabda bermaksud: “Al-Thiyarah (menyandarkan keburukan kepada sesuatu) itu syirik, al-Thiyarah itu syirik tiga kali. Dan tidak ada seorang pun dari kita, kecuali (telah terjadi dalam dirinya pengaruh al-Thiyarah) akan tetapi Allah menghilangkannya dengan tawakal.” (Hadis riwayat Imam Abu Dawud).
Setiap manusia akan berhadapan dengan perasaan tathayyur tetapi jika kita bertawakal kepada Allah dalam segala perkara yang mendatangkan manfaat dan menjauhi musibah, maka Allah menghilangkan perasaan itu daripada jiwa kita.
Oleh itu bagi yang sudah terpengaruh dengan keupayaan Paul dalam membuat ramalan, hendaklah membersihkan jiwa mereka daripada keyakinan sebegini. Paul cuma seekor binatang yang tidak dikurniakan akal. Tentu sekali ia langsung tidak mampu mengenali bendera sesebuah negara atau memahami fungsi kotak dalam akuariumnya.
Pergerakannya ke arah kotak dan bendera tertentu hanya kebetulan. Jika kita terjebak dalam perlakuan tathayyur, untuk menebusnya Rasulullah SAW mengajar kita untuk mengucapkan doa:
“Ya Allah, tidak ada kebaikan kecuali kebaikan-Mu dan tidak ada kesialan kecuali kesialan daripada-Mu dan tidak ada Tuhan selain-Mu.” (Hadis riwayat Imam Ahmad).
Rujukan :
1. Al-Quran
2. Artikel Sotong 1
3. Artikel Sotong 2
4. http://www.dailymail.co.uk/sport/worldcup2010/article-1293021/WORLD-CUP-2010-Paul-psychic-Octopus-correctly-predicts-German-result.html
5. http://blog.al.com/live/2010/07/fodder_paul_the_octopus_picks.html
0 Responses to Kisah Paul si Sotong Kurita : Meramal perlawanan Piala Dunia 2010
Something to say?