Ribuan rai revolusi Islam Iran



TELEVISYEN Press TV menyiarkan gambar beribu-ribu warga Iran berhimpun di Dataran Azadi menyambut ulang tahun ke-31 Revolusi Islam. Gambar kecil Ahmadinejad melambai kepada penduduk ketika menghadiri sambutan itu.
Ahmadinejad isytihar status nuklear, Teheran terus hadapi tekanan Barat

TEHERAN: Beratus ribu penyokong kerajaan membanjiri pusat bandar Teheran semalam bagi menyambut ulang tahun ke-31 revolusi Islam manakala pasukan keselamatan mengambil langkah berjaga-jaga di seluruh bandar bagi mematahkan bantahan balas pihak pembangkang.

Gambar televisyen kerajaan menunjukkan imej beribu-ribu orang membawa sepanduk yang semuanya sama bentuk dan rupa sambil berarak di jalan raya menghala ke tengah Azadi atau Dataran Kebebasan.


Di sinilah perhimpunan raksasa itu melambaikan bendera Iran dan membawa gambar Ayatollah Ruhollah Khomeini, pengasas negara Islam berkenaan dan penggantinya, pemimpin agung, Ayatollah Ali Khamenei.

Dalam perutusannya yang disiarkan menerusi televisyen, Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad mengisytiharkan bahawa Iran sudah menjadi 'negara nuklear.'

Katanya, Iran mengeluarkan kumpulan pertama uranium yang diperkayakan ke tahap lebih tinggi, dan menyatakan negaranya tidak akan dibuli oleh Barat yang memperkecilkan program nuklear negaranya sehari selepas Amerika Syarikat mengenakan sekatan baru.
"Pakej pertama 20 peratus bahan api sudah dihasilkan dan diberikan kepada saintis," katanya. Beliau tidak menyatakan berapa banyak uranium sudah diperkayakan.

Teheran, yang menafikan ia sedang membina bom, berkata ia ingin meneruskan usaha memperkayakan uranium - yang masih berada di bawah tahap lebih 90 peratus yang diperlukan untuk membuat senjata.

Anggota polis bertempur dengan penunjuk perasaan di beberapa kawasan di sekitar Teheran, dan melepaskan tembakan gas pemedih mata dan bahan pewarna bagi menandakan mereka untuk ditahan, lapor laman web.

Beberapa dozen anggota militia awam, Basij menggunakan belantan dan penyembur lada hitam bagi melakukan serangan terhadap konvoi pemimpin kanan pembangkang, Mahdi Karroubi, ketika beliau cuba menyertai bantahan diketuai anak lelakinya, Hossein Karroubi.
Kumpulan Basij itu juga merosakkan beberapa kereta dan memecah tingkap kereta Karroubi, walaupun belaiu berjaya melepaskan diri tanpa mengalami kecederaan.

Pasukan keselamatan juga menahan seketika cucu perempuan Ayatollah Ruhollah Khomeini, arkitek Revolusi Islam 1979, dan suaminya, yang kedua-duanya ahli politik proreformasi kanan.

Cucu perempuannya itu, Zahra Eshraghi, dan suaminya, Mohammad Reza Khatami, yang juga adik lelaki bekas presiden pro reformasi, ditahan kurang sejam sebelum dibebaskan, kata anak lelaki mereka. � AP