Mengundang Curahan Hidayah & Rahmat y Maha Khaliq

SIFAT-SIFAT HIZBULLAH DI DALAM AL-QUR'AN

By NOR AZAM MOHAMAD TAMJIS

Firman Allah swt;


"Hai orang-orang yang beriman, barangsiapa murtad di antara kamu dari agamanya, maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka mencintai akan-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang-orang mukmin, yang berkeras (tegas) dengan orang kafir, mereka berjihad di jalan Allah dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Itulah kurniaan Allah, diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui. Hanya sesungguhnya pimpinan kamu adalah Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang beriman; iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan mereka yang tunduk (patuh kepada Allah). Dan barangsiapa menjadikan Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman menjadi pimpinan, maka sesungguhnya Hizbullah (pendokong agama Allah) yang pasti menang"
(Surah Al Maidah ayat 54-56)


Berdasarkan ayat di atas, dapatlah disimpulkan beberapa sifat-sifat Hizbullah atau pendokong perjuangan Islam ialah;

1. Mereka menyintai Allah (dan agama Allah yakni Islam) mengatasi cinta mereka terhadap perkara-perkara yang lain. Cinta pada Allah diletakkan pada takhta paling tinggi dalam carta cinta mereka dalam permaknaan cinta sejati yang luhur, ikhlas dan suci dengan sentiasa mendekatkan diri dengan Allah swt (Hablum minallah)

2. Mereka bersikap lemah lembut sesama saudara muslim dan orang-orang yang berlembut dengan mereka. Mereka sentiasa berkata baik, bertingkah hemah dan akhlak yang menyenangkan sesama mukmin (Hablum minannas)

3. Dalam masa yang sama, mereka tegas dan merasai izzah terhadap golongan kafir yang memusuhi Islam dan golongan musuh yang pelbagai bentuk dan cara. Mereka tetap dengan pendirian Islam sebagai tuan di dunia dan Allah penegasan tertinggi hidup dengan tidak rela melihat agama Allah dipermain atau diperlekeh musuh.

4. Mereka berjihad dan berkorban pada jalan Allah dengan segala keupayaan yang ada pada mereka demi kelangsungan Islam. Mereka berkorban dengan keringat kudrat tenaga, perahan akal minda, masa, harta benda, kekayaan, pangkat malah nyawa sekalipun sebagai taruhan demi perjuangan Islam.

5. Mereka tidak takut kepada fitnah dan celaan ahli cela. Penghinaan ahli hina. Dan pelbagai bentuk diskriminasi yang bakal dihadapi pendokong-pendokong perjuangan Islam kerana tarbiyah diri telah memberitahu sememangnya perjuangan Islam ini perjuangan yang dipenuhi dengan celaan orang-orang yang mencela dalam kalangan musuh Islam. Sesungguhnya celaan terhadap mereka itu tidak sedikitpun mengurangkan kemuliaan mereka di sisi Allah disebabkan keimanan mereka terhadap perjuangan Islam.

6. Mereka memberi wala' dan ketaatan kepada perintah Allah dan Rasul-Nya serta pemimpin yang mentaati Allah dan Rasul-Nya sebagai pengukuhan jemaah yang menghidupkan kekuatan demi cita-cita perjuangan.

Wahai sahabat seperjuangan sekalian! Ayuh muhasabah diri. Adakah kita Hizbullah, Pendokong agama Allah???

 

Assalamualaykum wrt. wbt.

Pada awal bulan Ogos ini, saat kaum muslimin dan muslimat di Malaysia sibuk dengan kedatangan Ramadan al-Mubarak, Negara dikejutkan dengan berita pemeriksaan yang dijalankan Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS) di sebuah Gereja Methodist. 

Saya ketika itu menyambut kedatangan bulan Ramadan, turut memberi perhatian dan mengikuti isu ini dari semasa ke semasa. Seingat saya, pemeriksaan dilakukan pada 3 Ramadan dan media mula ‘memanaskan’ berita  bermula 4 Ramadan. Pelbagai berita yang saya terima, tidak kurang juga sahabat handai yang bertanya pendapat menerusi sms dan juga laman sosial ‘facebook’ mengenai perkara ini. Cuma jawapan awal saya ketika itu yang memerhati dengan teliti, ‘perlu siasat terlebih dahulu perkara yang berlaku, barangkali ada pihak giat mempolitikkan isu ini melalui media’. Ya, memang benar ketika itu di media digambarkan JAIS membuat serbuan. Jadi perkataan ‘raid atau raiding’, serbu atau serbuan itu yang memberi satu gambaran pintu itu dipecahkan dan ditendang sebenarnya tidak berlaku dalam majlis ‘Thanksgiving Dinner’ tersebut. Dalam bahasa kita, majlis tersebut seperti kenduri kesyukuran. 

Saya sendiri  berpendapat tidak wajar mengganggu majlis yang berlangsung di gereja tersebut, tetapi memandangkan menurut laporan, terdapat 20 orang muslim dalam majlis keagamaan itu, 12 orang dewasa; 3 orang lelaki dan 9 orang wanita dan juga 8 orang kanak-kanak. Saya melihat ini merupakan suatu usaha terancang untuk mengikis aqidah penganut Islam yang hadir dalam majlis tersebut. Bagaimanakah status aqidah mereka itu nanti? Tindakan JAIS membuat pemeriksaan di gereja tersebut adalah wajar pada pendapat saya. Berkenaan laporan media yang menggambarkan gereja diserbu dan memburuk-burukkan JAIS adalah suatu fitnah. Kita seharusnya menunggu laporan penuh mengenai pemeriksaan tersebut daripada pihak yang terlibat sendiri. Saya mempersoalkan status aqidah 20 orang penganut Islam itu sebab dalam majlis tersebut adanya satu prayer intersession sembayang orang Kristian di mana meminta Nabi Isa untuk memohon kerestuan tuhan mereka. Pesong atau tidak? Pesongkan. Jika terbukti pemesongan tersebut berlaku, ia adalah dakyah terancam yang perlu ditangani segera dengan menguatkuasakan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam yang sedia ada di kebanyakan negeri, sejak tahun 1988.

Kesalahan yang termaktub dalam enakmen itu ialah:

 

sambungan..


Dialog di siang hari : seorang guru sedang mengajar di kelas tingkatan 3.

“Hari ni 1 Ramadhan, ustaz nak tengok berapa ramai yang berpuasa. Angkat tangan yang puasa!” Arah ustaz kepada pelajar-pelajarnya.

“Bagus, semua berpuasa hari ini. Takde yang ‘ABC’ jugak ye hari ni, “ ustaz tersebut memuji pelajar-pelajarnya.

“Baiklah, kemudian siapa yang solat Subuh hari ini, tolong angkat tangan!” Arah ustaz lagi.

“Astaghfirullah al’azim. Kenapa boleh separuh yang tidak solat Subuh ni?” Soal ustaz meminta jawapan daripada pelajar-pelajarnya.

Semua lantas terdiam di dalam kelas tersebut. Lalu datang satu suara yang memecah kesunyian kelas.

“Ustaz, macam biasa la, kami keluar awal dari rumah tunggu bas. Takut tertinggal punya pasal lah,” jawab seorang pelajar.

“Habis tu, macam mana boleh kata yang kamu ni berpuasa?” Soal ustaz.

“Saya puasa sebab saya sempat bersahur,” jawab pelajar tersebut.

“Solat subuh wajib tak?” Soal ustaz kepada semua pelajar.

“Wajib, “ jawab semua pelajar.

“Puasa ramadhan?” Soal ustaz lagi.

“Wajib,” jawab semua pelajar.

 

Sebelum bait-bait sajak ini dijamah pandangan,
diselami maksudnya, kita memulakan bacaan dengan melafazkan kalimah barakah,
Bismillahirrahmanirrahim. Semoga keberkatannya hingga ke akhir pembacaan tulisan ini.

Ramadhan ini...
yang datang menjengah kita kembali,
membawa seribu kesucian,
mengendong sejuta keberkatan,
yang pasti ia hadiah dari tuhan.

Ramadhan ini..
yang mengajak kita kembali,
mensucikan diri pada illahi,
mengabdikan roh hanya buat Sang Rabbi,
yang pasti keikhlasan dijiwai.

Ramadhan ini...
yang mendambakan kita kembali
menjauhi noda dan dosa duniawi,
mendekati pahala dan ganjaran ukhrowi,
yang pasti taubat selalu diinsafi.

Ramadhan ini..
yang menjana kita kembali,
berbakti teguh pada si bumi,
bermaafan sesama manusiawi,
yang pasti Sang Tuhan itu ar-Rahimi.

Ramadhan itu...
yang mengajar kita kembali,
Izzahnya pada ruhhi,
Sucinya dalam hati,
Berkatnya untuk diri

Dan ramadhan itu..
Sempurna tarbiyahnya mendidik hati,
yang keras mencair lembut,
yang hitam merubah putih,
yang rosak membaik pulih.

Hanya ramadhan ini...
tersimpan rahsia malam seribu bulan,
yang dirahmati tuhan seluruh alam,
yang menjanjikan berlipat ganda amalan,
penantian yang penuh keimanan.

Sesungguhnya ramadhan ini...
mungkin yang terakhir buat kita,
setiap amalan perlu kesungguhan,
setiap ibadah lahir ketaqwaan,
setiap ganjaran menjadi rangsangan.

-tintalughahwi-

 

Sapa nak selamatkan PMRAM?

By NOR AZAM MOHAMAD TAMJIS

Assalamualaykum wrt. wbt.
Jam menunjukkan hampir pukul 3.15petang. Saya yang baru sahaja berlalu dari persinggahan di kedai makan, memberhentikan motosikal sebentar. Kemudian melihat semula pesanan ringkas atau 'sms' yang dihantar kepada 'inbox' saya. Salah satunya tertera 'sms' berantai yang dipercayai pesanan daripada Presiden PMRAM Mesir. Tak perlulah saya tulis semua ayat pesanan tersebut, tapi bunyinya seperti ada pihak yang tidak bertanggungjawab sedang berusaha mencari jalan untuk menggugat kedudukan Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).
Saya pun terfikir, bagaimanakah nanti kebajikan mahasiswa Malaysia yang melanjutkan pengajian di Mesir jika PMRAM dihazafkan? Sedangkan PMRAM merupakan satu-satunya persatuan yang menguruskan hampir semua hal-ehwal mahasiswa Malaysia yang belajar di Mesir secara menyeluruh. Jadi, pendapat saya sebarang usaha untuk mengganggu-gugat PMRAM adalah tidak wajar kerana akan menyebabkan kepincangan kepada kebajikan mahasiswa-mahasiswi kita di sana. Perkara ini juga akan mengganggu perjalanan mahasiswa-mahasiswi kita di sana kerana jika PMRAM diharamkan, siapakah yang akan melaksanakan sistem pemantauan dan penjagaan mahasiswa-mahasiswi kita di sana yang belajar di Mesir. 
Melalui laman rasmi PMRAM, umum maklum bahawa medan kerja Persekutuan adalah seperti berikut:
a) Kebajikan masyarakat
b) Khidmat ilmu dan pengetahuan
c) Kegiatan akademik
d) Khidmat ekonomi
e) Perhubungan antarabangsa Mesir dan lain-lain

Jadi, bagi rakan-rakan mahasiswa di Tanah Air, mendoakan keselamatan PMRAM dan seluruh mahasiswa Mesir amnya. Siapakah lagi akan menyelamatkan PMRAM dari usaha keji dan tidak rasional untuk mengancam kedudukan PMRAM melainkan ALLAH. Hanya kepada ALLAH-lah tempat kita bergantung. 
Justeru itu, saya menyeru kepada rakan-rakan mahasiswa di Tanah Air ini agar sama-sama kita berdoa ke hadrat ALLAH dan menunaikan solat hajat bagi memohon keselamatan ke atas PMRAM dan seluruh mahasiswa kita yang berada di Mesir. Insya-ALLAH, semoga hajat kita dikabulkan ALLAH.

 

Semuanya kerana ALLAH

By NOR AZAM MOHAMAD TAMJIS

Kebaikan itu semuanya terhimpun dalam 4 perkara :
1. Percakapan.
2. Diam.
3. Pandangan.
4. Gerak.

Tiap-tiap percakapan yang tidak disertai dengan mengingati ALLAH adalah sia-sia, tiap-tiap diam yang tidak disertai dengan memikirkan kebesaran ALLAH adalah leka, tiap-tiap pandangan yang tidak disertai dengan pengambilan iktibar adalah lalai dan tiap-tiap gerak yang tidak disertai dengan perhambaan adalah kosong.