Sebelum bait-bait sajak ini dijamah pandangan,
diselami maksudnya, kita memulakan bacaan dengan melafazkan kalimah barakah,
Bismillahirrahmanirrahim. Semoga keberkatannya hingga ke akhir pembacaan tulisan ini.

Ramadhan ini...
yang datang menjengah kita kembali,
membawa seribu kesucian,
mengendong sejuta keberkatan,
yang pasti ia hadiah dari tuhan.

Ramadhan ini..
yang mengajak kita kembali,
mensucikan diri pada illahi,
mengabdikan roh hanya buat Sang Rabbi,
yang pasti keikhlasan dijiwai.

Ramadhan ini...
yang mendambakan kita kembali
menjauhi noda dan dosa duniawi,
mendekati pahala dan ganjaran ukhrowi,
yang pasti taubat selalu diinsafi.

Ramadhan ini..
yang menjana kita kembali,
berbakti teguh pada si bumi,
bermaafan sesama manusiawi,
yang pasti Sang Tuhan itu ar-Rahimi.

Ramadhan itu...
yang mengajar kita kembali,
Izzahnya pada ruhhi,
Sucinya dalam hati,
Berkatnya untuk diri

Dan ramadhan itu..
Sempurna tarbiyahnya mendidik hati,
yang keras mencair lembut,
yang hitam merubah putih,
yang rosak membaik pulih.

Hanya ramadhan ini...
tersimpan rahsia malam seribu bulan,
yang dirahmati tuhan seluruh alam,
yang menjanjikan berlipat ganda amalan,
penantian yang penuh keimanan.

Sesungguhnya ramadhan ini...
mungkin yang terakhir buat kita,
setiap amalan perlu kesungguhan,
setiap ibadah lahir ketaqwaan,
setiap ganjaran menjadi rangsangan.

-tintalughahwi-


Dialog seorang ibu dengan anaknya.

“Umi. Umi, esok dah mula puasakan? Imi nak puasa esok Umi, “ kata seorang anak kepada ibunya.

“Esok dah mula puasa, Imi nak puasa eh? Tapi Imi kena janji dengan Umi dulu boleh?” Balas si ibu kepada anaknya.

“Imi kene janji ape tu Umi?” Soal si anak ingin tahu.

“Imi kene janji dengan Umi, Imi mesti puasa penuh kali ni. Taknak puasa yangyok. ALLAH tak suka. Janji dengan umi?” Pinta si ibu pada anaknya.

“Boleh Umi! Imi dah naik darjah empat, mesti boleh punya!” Janji Imi penuh semangat.

“Bagus, Umi sayang sangat Imi. Nanti Umi masak sedap-sedap ye. Malam pulak Imi ikut Umi dan Abah solat di masjid ye, “ Balas si ibu dengan kata-kata perangsang.

“Baik Umi!” Kata Imi kepada ibunya.

Adakah kita pernah melihat atau mendengar perbualan seperti di atas ini. Jika diteliti, barangkali kita sendiri pernah menghadapi saat-saat mirip perbualan di atas ini. Wah, lihat seorang anak kecil berumur 10 tahun begitu bersemangat ingin menghadapi cabaran berpuasa penuh. 

Bagaimana pula dengan kita sewaktu kecil dahulu?

Adakah terdetik di hati kita, ”Ahh, aku lebih dahulu berpuasa dari adik ini, 6 tahun aku dah start puasa beb. Puasa penuh pula tu”

Atau imbasan seperti ini, “Tang puasa yangyok tu aku mengaku la, masa kecik-kecik dulu ‘step by step’ nak belajar puasa.”

Juga imbasan memori lebih ‘dasyat’ lagi, “Aku dulu tak habis-habis mukah awal bila puasa, tak tahan beb lapar dengan haus, 2 in 1 la katekan. Masuk sekolah menengah masih buat ‘kerja’ ni lagi. Dah kahwin baru la. Ok la malu. Isteri aku kuat leter la katekan.”

Kalau ingin dicungkil kisah memori bertatih dalam berpuasa, saya yakin masing-masing ada jalan tersendiri yang telah dilalui. Hal ini merupakan satu realiti, kita pula sedang melalui bulan yang penuh barakah ini : Ramadhan al-Mubarak. Kita pernah menjadi seorang anak, belajar cara berpuasa. Kita akan menjadi seorang suami dan isteri, belajar berpuasa secara bersama-sama. Kita juga akan menjadi seorang ibu dan ayah, belajar cara untuk mengajar anak-anak berpuasa. Kita semua bersetuju bukan, bahawa kita telah belajar cara-cara berpuasa hingga tahap pencapaian kita mencapai penuh sebulan Ramadhan berpuasa. Ya ini memang satu pencapaian yang bagus.

Suka saya ingin maklumkan ada lagi perkara yang lebih bagus untuk dicapai dalam sebulan berpuasa di bulan Ramadhan ini.

Apakah perkara itu?

Jawapannya ringkas, Taqwa.

Situasi yang sama, dalam Ramadhan ini, bagaimana seorang anak boleh belajar puasa penuh semata-mata untuk mendapatkan immuniti yang bernama taqwa. Sepasang suami isteri muda berpuasa bersama, walaupun terpaksa menahan ‘cita-cita indah’, namun sama-sama berjanji, kami akan mendapatkan taqwa. Seorang ibu dan bapa, teguh berpuasa demi menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak mereka. Supaya mereka beroleh taqwa dan anak-anak mereka nanti belajar cara memperoleh taqwa.




Di dalam ayat 83 surah Al-Baqarah ini, terselit misi mencapai Taqwa dan formula mencapainya.

Formula tersebut ialah Iman+Puasa=Taqwa. Kelihatan sangat ringkas bukan? Namun begitu, puasa yang dimaksudkan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga semata-mata.

Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud "Ada banyak orang yang berpuasa tetapi ia tidak memperolehi daripada puasanya itu selain daripada lapar dan dahaga".
(Riwayat Imam An-Nasai juga daripada Abu Hurairah Radhiallahu anhu)

Jangan menjadikan puasa kita hanya demi menahan perut dari makan dan minum. Hendaklah kita pastikan puasa kita mencapai tahap berpuasa nafsu kita. Sekaligus kita akan mampu mengawal segala perlakuan anggota badan, penglihatan dan percakapan kita. Paling penting, sematkan di minda segala apa yang kita lakukan hanyalah untuk mengharap redha ALLAH S.W.T. Hiasilah puasa kita dengan bunga-bunga zikir, tahajjud, munajat dan banyak berdoa kepada-Nya. Moga-moga kita akan beroleh taqwa seperti yang diimpikan.

Sabda Rasulullah yang bermaksud :

“Sesiapa yang berpuasa ramadhan atas dasar iman dan mengharap redha ALLAH, maka diampunkan dosa-dosanya yang lalu. Sesiapa yang melaksanakan qiyam ramadhan dan qiyam lailatulqadar atas dasar iman dan redha ALLAH, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan Ku ampunkan” (Riwayat Bukhari dan Muslim)




Dialog di waktu sahur.

“Abang, bangunlah. Dah masuk waktu imsak ni”, kata seorang isteri pada suaminya.

“Abang malas nak sahurlah sayang. Lagipun dah makan banyak moreh tadi. Kenyang dah”, balas suami dalam keadaan mamai.

“Huh, ikut suka abang la. Taknak teman sayang sahur ye”, si isteri mendengus.

Dalam masyarakat kita sekarang, sahur kekadang ditafsir bangkit tidur hanya untuk makan semata-mata. Sebenarnya bukan begini maksud sebenar bersahur. Menjamah sedikit alas perut untuk puasa di siang hari, itulah sahur. Sahur sebagai mekanisme pemberi kekuatan dalam seharian kita berpuasa. Kita bangun bersahur tanda kita sedang menunaikan ibadah dalam kitaran puasa seharian dalam Ramadhan ini.

Apakah kita bermain tarik-tali dengan ibadah kita? Sudah semestinya tidak bukan. Jadi, kita mestilah berusaha untuk bangun bersahur walaupun alas perut dengan sebiji tamar dan air kosong sahaja. Di situlah terletaknya berkat puasa kita dengan bangun bersahur.

Ibn Umar ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya mengirim rahmat ke atas mereka yang makan sahur."

 bersambung....