Assalamualaykum wrt. wbt.

Pada awal bulan Ogos ini, saat kaum muslimin dan muslimat di Malaysia sibuk dengan kedatangan Ramadan al-Mubarak, Negara dikejutkan dengan berita pemeriksaan yang dijalankan Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS) di sebuah Gereja Methodist. 

Saya ketika itu menyambut kedatangan bulan Ramadan, turut memberi perhatian dan mengikuti isu ini dari semasa ke semasa. Seingat saya, pemeriksaan dilakukan pada 3 Ramadan dan media mula ‘memanaskan’ berita  bermula 4 Ramadan. Pelbagai berita yang saya terima, tidak kurang juga sahabat handai yang bertanya pendapat menerusi sms dan juga laman sosial ‘facebook’ mengenai perkara ini. Cuma jawapan awal saya ketika itu yang memerhati dengan teliti, ‘perlu siasat terlebih dahulu perkara yang berlaku, barangkali ada pihak giat mempolitikkan isu ini melalui media’. Ya, memang benar ketika itu di media digambarkan JAIS membuat serbuan. Jadi perkataan ‘raid atau raiding’, serbu atau serbuan itu yang memberi satu gambaran pintu itu dipecahkan dan ditendang sebenarnya tidak berlaku dalam majlis ‘Thanksgiving Dinner’ tersebut. Dalam bahasa kita, majlis tersebut seperti kenduri kesyukuran. 

Saya sendiri  berpendapat tidak wajar mengganggu majlis yang berlangsung di gereja tersebut, tetapi memandangkan menurut laporan, terdapat 20 orang muslim dalam majlis keagamaan itu, 12 orang dewasa; 3 orang lelaki dan 9 orang wanita dan juga 8 orang kanak-kanak. Saya melihat ini merupakan suatu usaha terancang untuk mengikis aqidah penganut Islam yang hadir dalam majlis tersebut. Bagaimanakah status aqidah mereka itu nanti? Tindakan JAIS membuat pemeriksaan di gereja tersebut adalah wajar pada pendapat saya. Berkenaan laporan media yang menggambarkan gereja diserbu dan memburuk-burukkan JAIS adalah suatu fitnah. Kita seharusnya menunggu laporan penuh mengenai pemeriksaan tersebut daripada pihak yang terlibat sendiri. Saya mempersoalkan status aqidah 20 orang penganut Islam itu sebab dalam majlis tersebut adanya satu prayer intersession sembayang orang Kristian di mana meminta Nabi Isa untuk memohon kerestuan tuhan mereka. Pesong atau tidak? Pesongkan. Jika terbukti pemesongan tersebut berlaku, ia adalah dakyah terancam yang perlu ditangani segera dengan menguatkuasakan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam yang sedia ada di kebanyakan negeri, sejak tahun 1988.

Kesalahan yang termaktub dalam enakmen itu ialah:


Seseorang yang menyuruh, menyebabkan, memujuk, mempengaruhi, menghasut, menggalakkan atau membiarkan seseorang beragama Islam di bawah umur 18 tahun supaya menerima ajaran agama bukan Islam, atau supaya dia menyertai apa-apa istiadat, perbuatan menyembah, atau aktiviti keagamaan agama bukan Islam atau aktiviti yang dianjurkan untuk faedah suatu agama bukan Islam, maka ia adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM10,000 atau penjara selama tempoh satu tahun atau kedua-duanya (Seksyen 5).

Seseorang yang mendekati orang Islam bertujuan mendedahkannya kepada apa-apa ucapan, pertunjukan, mengunjungi, mengatur, berusaha mengadakan suatu perjumpaan dengannya, atau menghubungi dengan telefon, bagi maksud mendedahkan orang itu kepada apa-apa ucapan atau pertunjukan mengenai agama bukan Islam, juga adalah kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM5,000 atau penjara selama tempoh enam bulan atau kedua-duanya (Seksyen 6).

Seseorang yang menghantar, menyerahkan, menyebabkan dihantar, diserahkan kepada seorang lain yang beragama Islam di dalam atau di luar negeri, atau dari luar negeri, menghantar atau menyerahkan kepada seorang yang beragama Islam di dalam negeri, apa-apa terbitan mengenai agama bukan Islam, atau bahan iklan bagi terbitan itu, yang mana tidak diminta oleh orang itu, juga adalah melakukan kesalahan yang boleh dikenakan denda RM3,000 atau penjara selama tempoh tiga bulan atau kedua-duanya (Seksyen 7).

Seseorang yang membahagi-bahagikan di suatu tempat awam, apa-apa terbitan mengenai agama bukan Islam, menyerahkan salinan terbitan itu kepada seorang Islam, juga adalah melakukan kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000 (Seksyen 8).

Seseorang yang membuat apa-apa tulisan yang diterbitkan dalam apa-apa ucapan atau pernyataan terbuka, atau dalam suatu perhimpunan yang dirancang, atau dalam pernyataan yang diterbit atau disiarkan, menggunakan mana-mana perkataan yang khusus untuk umat Islam sebagaimana disenaraikan dalam Bahagian I Enakmen itu, atau terbitan atau virasinya, menyatakan atau memperihalkan sesuatu fakta, kepercayaan, idea, konsep, perbuatan, aktiviti, perkara, atau hal mengenai atau berkaitan dengan sesuatu agama bukan Islam adalah suatu kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000 (Seksyen 9).

Sesiapa yang disyaki melakukan kesalahan ini boleh ditangkap tanpa waran. Sebagai umat Islam, kita melenting kalau ada ancaman dakwah daripada agama lain. Tetapi kita perlu sedar bahawa itu adalah strategi proaktif mereka.

Mencari punca.

Saya tidak mahu ulas panjang mengenai apa yang berlaku sepanjang pemeriksaan tersebut, tetapi saya mencari punca apakah yang menyebabkan 20 orang penganut Islam itu hadir dalam majlis keagamaan tersebut.  Apa yang saya lakukan sehingga kini masih menunggu laporan pihak JAIS yang diberitakan diberi tempoh oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sehingga September ini untuk disiapkan.
 Namun, saya ingin terus berbicara membuka sedikit pemikiran kita. Adakah kita hendak menyalahkan pihak gereja yang mengambil inisiatif mahu menyebarkan agama mereka yang telah anuti dan mereka yakin agama mereka terbaik? Adakah kita lebih gemar menyalahkan kaedah mereka mendekati orang-orang Islam yang susah dan membantu mereka dalam kesusahan tanpa perlu melalui proses tapisan ketat? Kita perlu menilai adakah strategi dakwah kita dapat menyaingi mereka atau kita hanya berpeluk tubuh dan mengharapkan hidayah Allah? Hal ini yang seharusnya kita perlu lebih peka dan ambil perhatian.
Isu ini tidak akan timbul sekiranya, kita benar-benar yakin dengan sistem pembinaan insan muslim di negara ini mampu membina aqidah yang kukuh dan mantap. Tetapi, hal yang sebaliknya berlaku kerana kita masih melihat kelompongan dalam pelaksanaan sistem ini sama ada kelemahan di peringkat pelaksananya atau kelemahan sistem itu sendiri. Sebab itu kita mudah melatah apabila timbul isu-isu berkaitan aqidah belakangan ini di Malaysia kerana kita tahu, masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki berkenaan pembinaan dan pemeliharaan aqidah umat Islam di Malaysia. Justeru itu, kita mesti berusaha untuk memantapkan umat Islam kita dengan program-program keilmuan dan pendidikan Islamiyah yang boleh mengukuhkan kekuatan aqidah dan pegangan umat Islam.
Kebenaran dakwaan ada masyarakat susah menerima sumbangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Baitulmal perlu dilihat dari aspek positif bahawa masih ada kelemahan sistem yang diguna pakai sekarang. Pihak pendakyah melihat ini satu kelemahan kita yang menguntungkan strategi dakyah mereka.

Diriwayatkan oleh Abu Nu`aim dalam al-Hilyah daripada Anas:
                 كَادَ الْفَقْرُ  أَنْ  يَكُوْنَ  كُفْرًا
Bermaksud: “Hampir-hampir kefaqiran itu membawa kepada kekufuran.”

Kemiskinan yang membelenggu boleh menyebabkan kekufuran, begitu juga dengan kemewahan yang berlaku turut menyumbang perkara yang sama. Pada hemat saya, pihak yang telah diamanahkan untuk menguruskan harta zakat dan dana kebajikan seperti JKM dan Baitulmal perlu mengkaji kaedah mengumpul data dan maklumat masyarakat fakir miskin serta memperbaik sistem pengagihan dana kebajikan kepada masyarakat yang layak menerimanya. Hal ini bagi memastikan supaya tidak wujud golongan yang tercicir yang akhirnya akan dipujuk oleh para pendakyah untuk menerima bantuan dari gereja. Kita tidak risau dengan bantuan kewangan yang pihak gereja berikan, namun yang dirisaukan ialah bimbang tawaran kebendaan akan melemahkan aqidah umat Islam kita yang dihimpit kemiskinan.

Baitulmal perlu lebih agresif mencari punca dan masalah mengenai kewujudan masalah mendapatkan bantuan kewangan daripada badan itu oleh mereka yang memerlukan. Saya mencadangkan mana-mana badan yang diamanahkan menguruskan pengagihan zakat, menyediakan ‘petty cash’ atau wang tunai dalam jumlah yang kecil atau sesuai bagi menampung perbelanjaan pemohon bantuan kewangan semasa tempoh kelulusan bantuan kewangannya itu. Tempoh kelulusan bantuan juga perlu dipercepatkan supaya bebanan ‘target groups’ segera diringankan. Kita perlu memastikan kebajikan mereka dalam tempoh itu dapat dijaga sekurang-kurangnya. Paling penting, saya melihat perlu mengurangkan birokrasi dalam pengagihan wang zakat ini.
Pengajaran boleh diambil dari sejarah Islam, diriwayatkan bahawa pada zaman Khalifah Umar Al-Khattab, beliau sanggup memikul gandum untuk diagihkan kepada orang miskin kerana mengambil berat tanggungjawabnya menjaga kebajikan umat Islam.
Pada zaman Khalifah Umar Abd Aziz pula, wang zakat tidak dapat diagihkan kepada umat Islam kerana kemiskinan sifar, yakni tiada orang memerlukan wang zakat lalu ia digunakan untuk memerdekakan hamba abdi di Eropah.

Siapa yang merosakkan aqidah sebenarnya?

Jika diperhatikan, laporan mengenai pemurtadan melalui institusi gereja tidaklah banyak namun dipolitikkan secara melampau di akhbar. Saya menggesa supaya isu berkaitan aqidah umat Islam tidak dimanipulasikan dan diputarbelit oleh akhbar untuk memberikan kelebihan politik kepada sesuatu pihak sehingga memecahbelahkan perpaduan umat Islam. Hal ini telah sama-sama dipersetujui dalam sidang meja bulat NGO Islam yang telah diadakan beberapa hari lepas di Kompleks Perumahan Exco Kerajaan Negeri Selangor dan telah meluluskan 10 resolusi persidangan. Sedangkan pada hemat saya, ada pihak yang memegang kekuasaan, sudah pun berusaha secara ‘rasmi’  dan konsisten merosakkan aqidah umat Islam di negara ini. Bersiri-siri drama dan filem seram dan tahyul ditayangkan di kaca televisyen yang secara jelas boleh menggugat aqidah para penonton yang rata-ratanya umat Islam. Baru-baru ini pula, iklan syampu yang ditayangkan di televisyen meletakkan 2012 sebagai tarikh kiamat, bukankah hal ini merosakkan aqidah umat Islam. Urusan kiamat milik ALLAH S.W.T semata-mata.

“Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang hari Kiamat....”
Surah Luqman : ayat 34.

                Program-program hiburan melampau yang melalaikan umat Islam daripada mengenal ALLAH S.W.T terus dihangatkan di seluruh pelosok negara. Apakah ini tidak merosakkan aqidah umat Islam di Malaysia? Tidak hairanlah sekiranya kes-kes jenayah dan gejala sosial seperti kes zina, rogol, buang anak, bunuh dan rompak bermaharajalela di Malaysia. Apa yang saya maksudkan melalui masalah-masalah diatas ialah saya inginkan proses pembinaan masyarakat Islam di Malaysia perlulah diberi perhatian yang sangat terperinci oleh pihak pemerintah. Kita wajib menitikberatkan pembinaan aqidah umat Islam di Malaysia. Dalam sebuah keluarga Islam, si bapa bertanggungjawab menjaga dan memberi pendidikan Islam dan diniyah kepada semua ahli keluarga dari semua aspek. Apatah lagi dalam bernegara, pihak pemerintah sebagai bapa perlulah menitikberatkan pendidikan aqidah serta menjaga aqidah umat Islam dengan program-program yang menyuburkan aqidah umat Islam di negara ini. 

ALLAHua’lam.