Suatu masa sebelum Ramadhan : 
 "Abang, raya nanti kita cat rumah kita dengan warna biru ye? Ok tak?"
Kata seorang isteri kepada suaminya.
"Ok," jawab si suami ringkas.




Suatu petang yang santai : 
"Abang, tau tak rumah ayah kat kampung tu dah nak roboh je. Macam mana kalau kita robohkan terus buat baru ke? Abang upahlah orang bina rumah yang baru untuk ayah. Kan abang ade banyak duit simpanan lagi. Kesian ayah, sunyi duduk pun sorang-sorang.  Bolehlah bang ye, ayah Tipah kan ayah abang jugak," pinta si isteri pada suami.

"......ehm.....Tengoklah nanti, " balas si suami ringkas.

"Eh, abang. Rumah ayah tu kan kita selalu balik raya. Abang tak rasa selesa ke rumah tu nak roboh? Selalu abang jugak yang cakap rumah tu nak runtuh, takde 'aircond'lah. Tolonglah abang, nanti kita jugak yang selesa bila balik sana nanti. Anak-anak kite pun nanti senanglah duduk kat dalam rumah tu. Bolehlah ye bang," rayu isteri pada suami.

"........." (si suami tidak berkata apa-apa sambil membelek-belek akhbar tempatan)

"...&&%$^#$@*&%&$," (Tutur kata isteri yang barangkali sukar ditafsir di sini)

"Oklah..Oklah..Abang buat ye," potong si suami.


Komunikasi merupakan maklumat yang ingin disampaikan kepada penerima oleh pengirim, bermaklumat dan melalui kaedah-kaedah tertentu. Dalam aspek manusia dan gender lebih mudah disebut dengan istilah interaksi. Interaksi berlaku antara dua pihak sama ada sama gender atau berlainan gender bertujuan menyampaikan dan bertukar-tukar maklumat. Seringkali dalam masyarakat awam di negara ini, interaksi antara gender lelaki-perempuan berlaku dalam keadaan susah hendak memahami satu sama lain. Contoh interaksi di atas saya ambil melalui interaksi antara suami dan isteri. Tapi sebenarnya terdapat tips-tips dan rahsia dalam memahami komunikasi antara gender yang agak kompleks ini.



Bagi kaum lelaki, ketahuilah perempuan apabila berbicara, ia sebenarnya sedang melahirkan luahan rasa hati. Betul tak? Hal ini sifat perempuan itu sendiri sentiasa mahukan pergantungan dan tumpuan. Walaupun kadang-kadang tidak semua disertakan dengan luahan hati tetapi bicara tanpa henti seseorang perempuan itu jika diteliti patah-patah perkataannya benar-benar apa yang ia rasakan. Kita tidak akan menyebut atau mengulang fakta hingga perbincangan menjadi panjang tetapi apabila disertakan dengan luahan, justeru menjadi panjang dan sukar dihentikan. Apa yang pendengar lelaki perlu buat? Beri sepenuh penumpuan. Jangan bercakap dengan orang lain. Lebih-lebih lagi dijadikan lelaki adalah pemimpin unggul dalam dunia, jadi berperanan seperti penyelesai masalah.

Bagi kaum perempuan, perasan tak apabila perempuan berbicara dan meleret, mengapa lelaki cenderung untuk diam? Tak kiralah berbicara mengenai pelbagai perkara. Adakah ia menunjukkan tanda bosan atau tidak prihatin? Tidak, sebenarnya cenderung diam itu merupakan refleksi daripada sifat lelaki yang bertanggungjawab dan memegang amanah. Ia tidak menyampuk(dengan menghentikan bicara perempuan) bahkan ia mendiamkan diri untuk menghargai bicara perempuan itu.(hanya sesekali ia menyampuk untuk mengetahui dengan sejelas-jelasnya). Apa yang perempuan perlu buat? Jangan mencela lelaki kerana diam dan bersahaja. Habis meluahkan masalah atau isi hati, terus dapatkan respon lelaki tersebut, usah berdiam kerana kebiasaan lelaki tidak tahu kehendak anda(perempuan).


"Tanda seseorang lelaki itu semakin matang ialah semakin sedikit bicara 'mempersoalkan' apabila ia menerima amanah dan tanggungjawab.".