Mengundang Curahan Hidayah & Rahmat y Maha Khaliq

Aku menerima sapaan daripada BK

By NOR AZAM MOHAMAD TAMJIS



Soalan temuramah untuk saya daripada pihak Berita Kampus.

Saya sertakan jawapan ini sekali.

Setuju atau tidak dengan himpunan mansuhkan PTPTN anjuran Malaysia Bangkit?

Baru-baru ini, pada 14 April 2012 diadakan suatu himpunan mansuhkan PTPTPN dan menuntut pendidikan percuma anjuran Malaysia Bangkit. Secara peribadinya, saya yang memerhatikan perkembangan gerakan mahasiswa di Malaysia dengan rapi setuju dengan himpunan yang dianjurkan atas dasar menuntut keadilan dan memperjuangkan kebajikan mahasiswa. Saya mendapati tuntutan masih lagi dalam kerangka memperjuangkan kebajikan mahasiswa khususnya kebajikan mahasiswa peminjam PTPTPN. Cuma ada beberapa perkara yang berlaku di dalamnya kurang disenangi oleh ramai mahasiswa. Hal ini merujuk kepada beberapa acara yang tidak mencerminkan akhlak Islam yang murni Bagi saya, adalah lebih baik sekiranya himpunan tersebut bebas daripada laungan cacian dan daripada agenda yang tersasar daripada objektif himpunan. Saya tegaskan sekali lagi, berkenaan himpunan ini, isu yang perlu diberi perhatian utama ialah isu pendidikan percuma dan memerlukan satu perbahasan yang terperinci, bukanlah perkara yang berlaku dalam demonstrasi.

Setuju atau tidak pemansuhan PTPTN?

Bagi saya, isu akar bukanlah mansuh PTPTN atau mengekalkan PTPTPN dengan ketetapan yang sedia ada. Perkara utama yang saya ingin ketengahkan ialah mengenai pendidikan percuma dan bermutu yang seharusnya diusahakan oleh kerajaan untuk dinikmati rakyat. Saya yakin pendidikan percuma boleh dilaksanakan sekiranya pengurusan kewangan negara dijalankan dengan berhemah dan  rasuah serta penyelewangan dibanteras. Saya juga setuju dengan penawaran daripada pihak GAMIS tidak lama dahulu yang menawarkan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat berbincang dalam sidang meja bulat mengenai isu pendidikan percuma. Menyentuh mengenai pinjaman PTPTPN kepada mahasiswa, saya ingin memberi cadangan agar bebanan membayar lebih daripada jumlah pinjaman yang diberikan, dibiyai oleh kerajaan dengan menyediakan peruntukan khas dalam pembentangan bajet atau dihapuskan. Sebarang caj perkhidmatan yang dikenakan kepada peminjam mesti dimansuhkan. Hal ini selari dengan firman ALLAH SWT surah al Baqarah ayat 278-279 mengenai riba. Sebagai contoh, seorang pelajar IPTA yang meminjam sebanyak RM 28 000 untuk 4 tahun pengajian, dengan kadar ujrah sebanyak 1% akan membayar balik kepada PTPTN sebanyak RM32 000. Sepatutnya peminjam hanya membayar jumlah pinjaman yang sebenar. Mekanisme pembayaran balik pinjaman PTPTN seharusnya perlu dibersihkan daripada unsur yang membebankan para peminjam.

Harapan/cadangan/nasihat.

Cadangan saya kepada pihak kerajaan agar meneliti semula isu pendidikan percuma ini dan membincangkannya dengan Pakatan Rakyat agar mahasiswa memperoleh output daripada perbincangan itu. Harapan saya kepada semua rakan-rakan mahasiswa, saya menyeru kepada semua agar berperanan menjadi mahasiswa yang celik ilmu dan perkara yang berlaku dalam negara kita. Selain itu, saya juga menasihatkan kepada semua rakan-rakan mahasiswa agar membuat ‘research’ atau menyiasat terlebih dahulu sesuatu perkara atau isu yang berlaku supaya kita boleh membuat penilaian dan pertimbangan yang tepat. Kepada mahasiswa dan mahasiswi muslim, saya menyeru agar kita semua menambahkan ilmu agama kita dan dekatkanlah diri kita dengan agama. Saya selaku wakil pimpinan saff Persatuan Mahasiswa Islam USM sedia membantu dan menyediakan suasana itu.

 

 

Tahun Baru 2012 yang dicemari!

By NOR AZAM MOHAMAD TAMJIS

Assalamualaykum wrt. wbt.

Saya mengucapkan selamat menyambut tahun baru masihi 2012 kepada semua rakan-rakan mahasiswa dan sahabat handai.

Marilah kita terus melakukan anjakan paradigma untuk lebih mengimani Al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. Sebagaimana yang dilakukan oleh para salafus-soleh, tabi'in dan para ulama' iaitu memperjuangkan kalimah syahadah (ISLAM) sehingga ke kedudukan tertinggi, marilah kita juga berjinak-jinak dan menghampiri jalan perjuangan Islam ini, sekaligus menggabungkan jiwa dan fizikal kita dengan perjuangan Islam yang ALLAH S.W.T tuntut seperti yang kita telah lafazkan dalam doa iftitah tiap-tiap kali Solat fardhu.

Dalam menyambut kedatangan tahun 2012, negara dicemari lagi dengan kebobrokan dan culas kerajaan parti pemerintah dalam menguruskan kebangkitan Mahasiswa era baru. Melihat kepada perkembangan isu semasa bermula pada perarakan himpunan gerakan BEBAS@Academic Freedom pada 17 Disember 2011 di depan bangunan UMNO, isu penurunan bendera DS Najib oleh Saudara Adam Adli Abd Halim lebih besar mengatasi segala-gala isu rasuah, salah guna wang rakyat, ketirisan dan masalah pentadbiran yang berlaku dalam pentadbiran DS Najib. 



Mahasiwa menzahirkan ketidakpuasan hati dan mendapat layanan begitu buruk sehingga dikatakan krisis adab(turun bendera DS Najib dan menaikkan semula bendera DS Najib) lebih besar daripada maksiat dan mungkar yang dilakukan dalam pemerintahan DS Najib. Nampaknya UMNO telah mula gentar dengan kebangkitan mahasiswa era baru ini sehinggakan kehilangan punca dan adab yang sebenar dalam menguruskan mahasiswa pandangan 'outspoken' ini.

Terbaru, demonstran mahasiswa yang tidak bersenjata di UPSI pada 1 Januari 2012 turut dilayani dengan kekerasan FRU. 


Beberapa orang Mahasiswa telah ditangkap dan diberitakan termasuk juga Adam Adli. Anggota FRU turut dikejarkan ke UPSI dan dikatakan telah menggempur para mahasiswa sehingga beberapa orang mahasiswa mengalami kecederaan termasuk seorang yang kritikal bernama Muhammad Safwan Anang Talib.



Jika berlaku kekerasan yang dimaklumkan, kita bersama-sama mengutuk jenayah terancang ke atas kelompok intelektual mahasiswa ini. Marilah bersama-sama turut serta memperjuangkan kebenaran sempena hadirnya tahun baru 2012 ini.

 

SIFAT-SIFAT HIZBULLAH DI DALAM AL-QUR'AN

By NOR AZAM MOHAMAD TAMJIS

Firman Allah swt;


"Hai orang-orang yang beriman, barangsiapa murtad di antara kamu dari agamanya, maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka mencintai akan-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang-orang mukmin, yang berkeras (tegas) dengan orang kafir, mereka berjihad di jalan Allah dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Itulah kurniaan Allah, diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui. Hanya sesungguhnya pimpinan kamu adalah Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang beriman; iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan mereka yang tunduk (patuh kepada Allah). Dan barangsiapa menjadikan Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman menjadi pimpinan, maka sesungguhnya Hizbullah (pendokong agama Allah) yang pasti menang"
(Surah Al Maidah ayat 54-56)


Berdasarkan ayat di atas, dapatlah disimpulkan beberapa sifat-sifat Hizbullah atau pendokong perjuangan Islam ialah;

1. Mereka menyintai Allah (dan agama Allah yakni Islam) mengatasi cinta mereka terhadap perkara-perkara yang lain. Cinta pada Allah diletakkan pada takhta paling tinggi dalam carta cinta mereka dalam permaknaan cinta sejati yang luhur, ikhlas dan suci dengan sentiasa mendekatkan diri dengan Allah swt (Hablum minallah)

2. Mereka bersikap lemah lembut sesama saudara muslim dan orang-orang yang berlembut dengan mereka. Mereka sentiasa berkata baik, bertingkah hemah dan akhlak yang menyenangkan sesama mukmin (Hablum minannas)

3. Dalam masa yang sama, mereka tegas dan merasai izzah terhadap golongan kafir yang memusuhi Islam dan golongan musuh yang pelbagai bentuk dan cara. Mereka tetap dengan pendirian Islam sebagai tuan di dunia dan Allah penegasan tertinggi hidup dengan tidak rela melihat agama Allah dipermain atau diperlekeh musuh.

4. Mereka berjihad dan berkorban pada jalan Allah dengan segala keupayaan yang ada pada mereka demi kelangsungan Islam. Mereka berkorban dengan keringat kudrat tenaga, perahan akal minda, masa, harta benda, kekayaan, pangkat malah nyawa sekalipun sebagai taruhan demi perjuangan Islam.

5. Mereka tidak takut kepada fitnah dan celaan ahli cela. Penghinaan ahli hina. Dan pelbagai bentuk diskriminasi yang bakal dihadapi pendokong-pendokong perjuangan Islam kerana tarbiyah diri telah memberitahu sememangnya perjuangan Islam ini perjuangan yang dipenuhi dengan celaan orang-orang yang mencela dalam kalangan musuh Islam. Sesungguhnya celaan terhadap mereka itu tidak sedikitpun mengurangkan kemuliaan mereka di sisi Allah disebabkan keimanan mereka terhadap perjuangan Islam.

6. Mereka memberi wala' dan ketaatan kepada perintah Allah dan Rasul-Nya serta pemimpin yang mentaati Allah dan Rasul-Nya sebagai pengukuhan jemaah yang menghidupkan kekuatan demi cita-cita perjuangan.

Wahai sahabat seperjuangan sekalian! Ayuh muhasabah diri. Adakah kita Hizbullah, Pendokong agama Allah???

 

Assalamualaykum wrt. wbt.

Pada awal bulan Ogos ini, saat kaum muslimin dan muslimat di Malaysia sibuk dengan kedatangan Ramadan al-Mubarak, Negara dikejutkan dengan berita pemeriksaan yang dijalankan Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS) di sebuah Gereja Methodist. 

Saya ketika itu menyambut kedatangan bulan Ramadan, turut memberi perhatian dan mengikuti isu ini dari semasa ke semasa. Seingat saya, pemeriksaan dilakukan pada 3 Ramadan dan media mula ‘memanaskan’ berita  bermula 4 Ramadan. Pelbagai berita yang saya terima, tidak kurang juga sahabat handai yang bertanya pendapat menerusi sms dan juga laman sosial ‘facebook’ mengenai perkara ini. Cuma jawapan awal saya ketika itu yang memerhati dengan teliti, ‘perlu siasat terlebih dahulu perkara yang berlaku, barangkali ada pihak giat mempolitikkan isu ini melalui media’. Ya, memang benar ketika itu di media digambarkan JAIS membuat serbuan. Jadi perkataan ‘raid atau raiding’, serbu atau serbuan itu yang memberi satu gambaran pintu itu dipecahkan dan ditendang sebenarnya tidak berlaku dalam majlis ‘Thanksgiving Dinner’ tersebut. Dalam bahasa kita, majlis tersebut seperti kenduri kesyukuran. 

Saya sendiri  berpendapat tidak wajar mengganggu majlis yang berlangsung di gereja tersebut, tetapi memandangkan menurut laporan, terdapat 20 orang muslim dalam majlis keagamaan itu, 12 orang dewasa; 3 orang lelaki dan 9 orang wanita dan juga 8 orang kanak-kanak. Saya melihat ini merupakan suatu usaha terancang untuk mengikis aqidah penganut Islam yang hadir dalam majlis tersebut. Bagaimanakah status aqidah mereka itu nanti? Tindakan JAIS membuat pemeriksaan di gereja tersebut adalah wajar pada pendapat saya. Berkenaan laporan media yang menggambarkan gereja diserbu dan memburuk-burukkan JAIS adalah suatu fitnah. Kita seharusnya menunggu laporan penuh mengenai pemeriksaan tersebut daripada pihak yang terlibat sendiri. Saya mempersoalkan status aqidah 20 orang penganut Islam itu sebab dalam majlis tersebut adanya satu prayer intersession sembayang orang Kristian di mana meminta Nabi Isa untuk memohon kerestuan tuhan mereka. Pesong atau tidak? Pesongkan. Jika terbukti pemesongan tersebut berlaku, ia adalah dakyah terancam yang perlu ditangani segera dengan menguatkuasakan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam yang sedia ada di kebanyakan negeri, sejak tahun 1988.

Kesalahan yang termaktub dalam enakmen itu ialah:

 

sambungan..


Dialog di siang hari : seorang guru sedang mengajar di kelas tingkatan 3.

“Hari ni 1 Ramadhan, ustaz nak tengok berapa ramai yang berpuasa. Angkat tangan yang puasa!” Arah ustaz kepada pelajar-pelajarnya.

“Bagus, semua berpuasa hari ini. Takde yang ‘ABC’ jugak ye hari ni, “ ustaz tersebut memuji pelajar-pelajarnya.

“Baiklah, kemudian siapa yang solat Subuh hari ini, tolong angkat tangan!” Arah ustaz lagi.

“Astaghfirullah al’azim. Kenapa boleh separuh yang tidak solat Subuh ni?” Soal ustaz meminta jawapan daripada pelajar-pelajarnya.

Semua lantas terdiam di dalam kelas tersebut. Lalu datang satu suara yang memecah kesunyian kelas.

“Ustaz, macam biasa la, kami keluar awal dari rumah tunggu bas. Takut tertinggal punya pasal lah,” jawab seorang pelajar.

“Habis tu, macam mana boleh kata yang kamu ni berpuasa?” Soal ustaz.

“Saya puasa sebab saya sempat bersahur,” jawab pelajar tersebut.

“Solat subuh wajib tak?” Soal ustaz kepada semua pelajar.

“Wajib, “ jawab semua pelajar.

“Puasa ramadhan?” Soal ustaz lagi.

“Wajib,” jawab semua pelajar.